Please Take Note!

Segala coretan dalam blog ini hanyalah pandangan peribadi saya dan jika adapun dari sumber yang lain adalah datangnya ia bersama-sama dengan detail sumbernya. Wallahu a'lam.

Saturday, 9 January 2016

Suka Makan, Suka Masak

Bismillah.
Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW.


Cakoi. Walaupun indah khabar dari rupa, tapi rasa memang meletop.
Sungguh enak dimakan begitu saja..

Menunggu detik di'posting'kan, dok berkira-kira nak buat apa kat rumah. Nak keluar jalan-jalan, buang duit saja. Duit minyak, duit kertas, duit syiling, buang pada benda yang tak perlu. Disebabkan ada famili yang suka makan, tak memilih untuk makan, dan makan apa sahaja yang perut boleh terima, maka MASAK adalah aktiviti utama.

  • ROTI BUN KOSONG
  • ROTI BUN SARDIN
  • ROTI ARAB
  • CAKOI
  • DONAT
  • KARIPAP PUSING
  • TOMYAM THAI

Berikut merupakan antara masakan yang pernah dicuba. Yang mana jadi, kita ulang masak. Yang mana tak jadi, habis jugak! untung ada famili suka makan ni. TAK MEMBAZIR. Kami ni pantang tengok makanan tak habis. Sapa makan tak habis siap la.. Bersyukur lahir dalam famili yang bukan kaya. Cukup makan ja orang kata. Baru kita tau nak bersyukur dengan apa yang ada. Dan tak mengada-ngada.

p/s: InsyaAllah lepas ni resepi diupload. Mungkin jadi blog masakan lepas ni.

Thursday, 30 July 2015

Murid Teruja, Guru Pun Suka

Bismillah.
Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W.

Usai melaksanakan intervensi untuk hari ketiga, mula terfikir kaedah dan teknik yang digunakan dalam pengajaran membosankan. Otak ligat memikirkan,
"Nak buat apa ya bagi depa seronok?" 
"Nak buat apa ya bagi depa tak kacau kawan sebelah?"
"Nak buat apa ya? Nak buat apa ya?"
Jari pun ligat meneroka Google, meninggalkan kajian tindakan yang membelitkan urat saraf otak. Alhamdulillah, jumpa akhirnya.

#1Kreatif (KOTAK MISTERI)

  1. Sentiasa membawa satu kotak misteri masuk ke dalam bilik darjah (waktu pengjaran).
  2. Kotak tersebut boleh diisi dengan apa jua bahan
  3. Setiap kali masuk kelas, biarkan murid tertanya-tanya apakah kandungan kotak misteri tersebut.
  4. Setelah beberapa tekaan, barulah tunjukkan murid isi kotak misteri.
#2Kreatif (KOTAK BERACUN)
  1. Sediakan satu kotak.
  2. Isi dengan beberapa aktiviti pengajaran.
  3. Kotak akan bergerak ke semua murid (dalam bulatan) mengikut lagu atau muzik yang berkumandang.
  4. Murid terakhir yang memegang kotak akan menjawab soalan daripada kotak.
  5. Kotak akan bergerak semula.
#3Kreatif (KUIZ)
  1. Sediakan soalan.
  2. Murid duduk ikut kumpulan.
  3. Murid daripada satu kumpulan diminta memilih satu nombor daripada kotak, dan memilih ahli kumpulan yang disukainya untuk menjawab soalan.
  4. Markah direkod, hadiah diberi.
Cukup sekadar sini, mata dah mula lali. Wassalamualaikum.

Friday, 10 July 2015

Tebal Muka Nak Hadap Tuhan

Bismillah.
Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W.

Saban hari, diri melakukan dosa. Saban hari, diri melakukan maksiat. Adakalanya diri sedar melakukankan dosa lalu cepat-cepat istighfar minta ampun dari Allah Yang Satu. Adakalanya pula, diri sedar melakukan dosa namun ditangguhkan 'istighfar' itu, dengan hati berbisik:
"Takpalah, sikit ja ni.."
"Takpalah, bukan dosa besar pun.."
Adakah dosa dilakukan dalam keadaan diri tidak sedar? Siapa yang tidak sedar melakukan dosa? Maka dia adalah orang yang jauh daripada Allah, jarang ingat Allah, dia adalah antara orang yang kurang ilmu, tidak tahu mana yang boleh mendatangkan murka Allah Taala. Memang malu bila orang kata kita kurang ilmu. Kadang-kadang rasa nak marah orang kata macam tu. Tapi apa gunanya marah pada orang lain, eloklah kiranya muhasabah akan diri sendiri, dan mengaku akan kelemahan diri, malah berbaliklah pada Tuhan Yang Menciptakan.

Menyedari hakikat banyak melakukan maksiat kepada Allah, jarang pula berbuat kebaikan dan berusaha mendekatkan diri kepada Allah, terasa MALU setiap kali mengangkat tangan dan menadah meminta Allah supaya ampunkan dosa. Rasa MALU nak minta syurga Allah. Rasa MALU nak minta Allah bagi peluang rasa air Telaga Kautsar milik Rasulullah. Rasa MALU nak minta syafaat Allah dan Rasulullah. Rasa MALU nak minta Allah melindungi dari azab api neraka dan siksa kubur.

Jangan putus asa akan rahmat Allah.
Tebal ja muka rasa bila mengangkat tangan yang Allah bagi untuk beribadat kepada Nya, dibuat sesuka hati tanpa ingat bahawa tangan itu jugalah milik Allah Taala. Kaki yang melangkah itu jugalah pemberian dari Allah. Jantung yang berdegup itulah peluang yang Allah bagi untuk beribadat padaNya.
ALLAH.. ALLAH.. ALLAH..
Namun begitu, DOA adalah SENJATA ORANG MUKMIN. Biar malu mengangkat tangan meminta daripada Allah yang Maha Pemurah, mintalah. Pada siapa lagi untuk kita meminta kalau bukan pada yang Maha Memiliki, pada yang Maha Kaya, pada yang Maha Memberi Pengampunan.

Yakinlah, sedikit sebanyak doa itulah yang akan mendekatkan diri hamba dengan Penciptanya. Doa itulah yang menjadi  penghubung setiap hamba-hamba kepada TUANnya, baik yang sentiasa melakukan ketaatan dan kebaikan mahupun yang sering melakukan maksiat.

Jangan berhenti berdoa, YAKINlah doa itu ALLAH PASTI MAKBULKAN tak kira setebal mana maksiat kita, setinggi mana dosa kita. Jangan berhenti minta ampun kepada Allah, kerana kita tak tahu bila kita akan berbuat dosa. Kita tak tahu bila roh akan dipanggil menghadap Malaikat Munkar dan Nakir, menjawab pelbagai soalan yang jawapannya tak ada 'spot' dari mana-mana, yang tidak mungkin bocor keluar dari mulut cikgu-cikgu dari seluruh dunia.

Wallahu a'lam.
Astaghfirullah al-'Azim. Allahumma amin.
 

Friday, 3 July 2015

Solat Sunat Dhuha: Apakah Fadhilatnya?

Bismillah.
Selawat dan slaam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W.

Sebelum menikmati kelebihan solat sunat dhuha yang akan dihidangkan, jom berkenalan terlebih dahulu dengan si dia.

Resume Solat Sunat Dhuha:

Nama: Solat Sunat Dhuha
Bilangan rakaat: 2 rakaat (tak ada dalil yang membatasi jumlah rakaat tertentu)
Waktu Dhuha: 30 minit selepas waktu syuruk sehingga 30 minit sebelum waktu Zohor

Baik, dah kenal dengan si dia? Sweet kan? Jom kita terokai pelaksanannya pula. 'Sweet and simple' orang putih kata.
Niat:
"Sahaja aku solat sunat dhuha 2 rakaat kerana Allah Taala"
Rakaat pertama:
1. Surah alFatihah
2. Surah asySyams (atau mana-mana surah)
Rakaat kedua:
1. Surah alFatihah
2. Surah adhDhuha (atau mana-mana surah)
Memberi salam dan berdoa. Wah, mudah kan?

Baik, untuk hidangan utama hari ni. Hidangan ni takdak kat mana-mana bazaar Ramadan. Hidangan ni istimewa, Muslim saja yang dapat, pemberian daripada Allah ar-Rahim. Jom hayati dan motivasikan diri.

Kelebihan Solat Sunat Dhuha:

1. Penarik rezeki dan penolak kepapaan.
Sabda Rasulullah S.A.W. yang maksudnya: "Dua rakaat Dhuha menarik rezeki dan menolak kepapaan."
2. Diampunkan dosa.
Sabda Rasulullah dalam riwayat yang lain maksudnya: "Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya akan segala dosanya walaupun seperti buih di lautan." (Ibnu Majah dan at-Tirmidzi)
3. Ganti kepada sedekah.
Dalam riwayat yang lain Nabi bersabda maksudnya: "Pada tiap-tiap pagi lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota seseorang kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah, dan cukuplah (sebagai ganti)yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat solat Dhuha." (al-Bukhari dan Muslim)
P/s: Pada yang belum amalkan solat dhuha, jom kita mulakan hari ini. Pada yang dah mula amalkan, jom kita istiqamahkan diri. Moga fadhilat-fadhilat tersebut jatuh ke atas kita walau salah satunya. Amin.

Sunday, 28 June 2015

Ini Yang Saya Mahu Elakkan!!

Bismillah.
Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W.

Hari pertama. Sejak hari pertama kami selisih di koridor, beliau telah melemparkan satu senyuman ikhlas diikuti satu pandangan misteri sehinggalah kami masing-masing hilang di sebalik pintu hujrah masing-masing.

Dalam beberapa hari ini, beliau sibuk dan jarang ada di hujrahnya. Kalau adapun cuma di awal pagi dan di tengah malam. Sesekali kami bertembung di 'bilik rehat'. Dan kali ini senyuman beliau terbalas.

Genap seminggu, beliau tidak lagi sibuk dengan aktivitinya sebelum ini. Ini membuka ruang dan peluang untuk lebih kerap bertembung dengan beliau. Ini yang saya mahu elakkan!!

Pagi ini, sekali lagi kami bertentang mata di koridor, beliau menyapa. Sungguh! Sudah dapat mengagak kejadian itu akan berlaku, saya hanya melemparkan senyuman seikhlas mungkin. Tahu, beliau mesti memikirkan kenapa saya tidak membalas sapaannya.

Takdir di bawah kekuasaan Allah Taala, sekali lagi terselisih dengan beliau kali ini di hadapan tangga, beliau kelihatan sedang menunggu seseorang. Menyedari yang beliau sudah mendapat jawapan daripada kejadian pagi tadi, beliau menyapa sekali lagi,
"Selamat pagi."
Lembut suaranya mungkin kerana memikirkan jarak umur antara kami berdua. Saya membalas sapaan itu dengan senyuman seikhlas mungkin. Dan saya terus menaiki tangga dengan selaju mungkin sambil menahan senyuman yang mungkin akan meledak menjadi ketawa.
Tamat cerita.
***************
Hampir lima tahun setengah di sini, kejadian yang sama berulang lagi. Bermula sejak  masih di usia seawal 6 tahun, saya bermain papan gelongsor di padang permainan, bersama seorang lagi kanak-kanak seusia. Hanya kami berdua. Memecahkan kesunyian yang ada, kanak-kanak tersebut bertanyakan sesuatu dalam bahasa Cina. BAHASA CINA! Tergamam dengan pertanyaan itu, spontan saya menjawab,
"Saya orang Melayu."
Kami berbual dalam beberapa patah perkataan dan saya bergegas pulang ke rumah. Diceritakan kepada kedua orang tua dan saudara yang lain, mereka tertawa melayan cerita itu.

Dan kali ini kejadian yang sudah beberapa kali berulang itu, terjadi lagi. Sungguh, mengimbau kenangan lama. Entah di mana kanak-kanak itu sekarang.

Followers